Wednesday 29 June 2016

ORPHANCARE TERJAH SUNGAI PETANI!



20 Jun lalu, team OrphanCARE berada di Sungai Petani, Kedah atas satu misi. Setahun lalu, kami ke sana untuk melancarkan cawangan OrphanCARE di sebelah utara serta program awareness di kolej-kolej Komuniti. Kali ini, kami kembali untuk meneruskan perjuangan OrphanCARE iaitu menyelamatkan bayi terabai.

Dalam bahang Ramadan, kami bersama-sama mengatur langkah ke Bazar Ramadan Taman Ria, antara bazar yang sering menjadi sebutan warga tempatan. Menurut orang Sungai Petani, bazar ini ‘meriah’ dengan jualan makanan yang enak! Suasana sibuk dengan kenderaan yang keluar masuk ke bazar membuatkan kami teruja. “Banyak peluang untuk menyampaikan informasi ni,” getus hati kami. Bonet kereta dikosongkan. Kurma-kurma yang dibungkus serta kepingan pamphlet dibawa bersama. Ya, kami di sini untuk menyebarkan maklumat mengenai perjuangan OrphanCARE, atau lebih tepat lagi untuk memaklumkan kepada warga Sunga Petani akan kehadiran OrphanCARE di bahagian utara.




Persekitaran bazar mulai sibuk. Masing-masing kusyuk membeli juadah berbuka puasa. Berbeza dengan kami, begitu fokus untuk mendekati pengunjung-pengunjung bazar agar informasi mengenai OrphanCARE sampai ke pengetahuan mereka. Selain menyebarkan maklumat, kami juga menunaikan niat untuk menderma. Kurma yang dibungkus disampaikan kepada pengunjung termasuk peniaga yang ada di sana.




Alhamdulillah, sambutan yang kami terima menggalakkan. Sehingga selesai misi kami di sana, pengunjung yang menerima pamphlet dari kami masih memegang maklumat tersebut dalam genggaman. Besar harapan kami sekiranya maklumat itu dapat dibaca dan dinilai sebaiknya.

Urusan di bazar selesai. Keesokannya kami akan berkunjung ke Kolej Komuniti Sungai Petani untuk kempen kesedaran seterusnya.

Kesibukan laluan menghala ke Kolej Komuniti Sungai Petani tidak melewatkan perjalanan kami. Setibanya di Kolej Komuniti, kami dibawa terus ke dewan auditorium untuk mendengar alunan qasidah. Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan ringkas dari Pengarah Kolej Komuniti Sungai Petani, Puan Hjh Namriah. Pihak OrphanCARE juga diberi peluang untuk menyampaikan maklumat serta memeperkenalkan misi dan visi OrphanCARE dihadapan 200 pelajar serta kakitangan Kolej Komuniti. Sebaik selesai sesi ucapan serta penyerahan sumbangan, majlis berbuka puasa disemarakkan dengan tazkirah Ramadan.







Tiga hari kami berada di Sungai Petani. Maklumat dan kesedaran sudahpun disampaikan. Semoga usaha OrphanCARE dipanjang-panjangkan ke pengetahuan seluruh Malaysia. Misi kami, MENYELAMATKAN NYAWA BAYI DAN KANAK-KANAK SERTA MENEMPATKAN MEREKA BERSAMA SEBUAH KELUARGA. Memetik kata-kata Pengerusi OrphanCARE, YBhg. Tan Sri Faizah Mohd Tahir, semoga satu hari nanti Baby Hatch tidak diperlukan lagi.







Sekiranya anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai misi OrphanCARE serta mengadakan satu segmen khas bersama kakitangan syarikat, boleh menghubungi kami di talian 03-7876 1900 atau emailkan kepada orphancare.anis@gmail.com. Cawangan OrphanCARE di Sungai Petani terletak di:

No. 4400, Lorong Serampang 2/1,
Taman Ria Jaya, Sungai Petani,
08000, Kedah Darul Aman.


‘EVERY CHILD NEEDS A FAMILY'




No comments:

Post a Comment